Wednesday, September 30, 2009

Terhangat : 6 filem Malaysia ke Melbourne

6 filem Malaysia ke Melbourne

oleh : beritaharian.com.my

PENGARAH Yasmin Ahmad mungkin sudah meninggalkan kita semua buat selama-lama. Namun, namanya pasti akan terus diingati dek kekuatan karya arahannya, tidak kiralah dalam bentuk iklan, telefilem mahupun filem. Majlis apresiasi dan tayangan filem arahannya sering saja diadakan bagi mengingati jasa wanita ini dalam industri perfileman negara.

Terbaru, dua karya terakhir Yasmin akan ditayangkan kepada umum pada Festival Filem Australia Malaysia 2009 yang berlangsung di Australian Centre of Moving Image (ACMI), Federation Square, Flinders Street, Melbourne pada 4 hingga 7 Oktober ini.

Pengarah yang diiktiraf pada peringkat nasional dan antarabangsa, Yasmin bagaimanapun sering kali menyatakan, filemnya ialah sebuah cerita mengenai kasih sayang dan insaniah.


Seandainya Talentime yang menobatkan Yasmin sebagai Pengarah Terbaik pada Festival Filem Malaysia Ke-22 baru-baru ini dijadualkan sebagai filem untuk tayangan pembukaan, filem Muallaf pula akan ditayang pada majlis penutup festival.


Selain daripada dua filem arahan Yasmin itu, empat lagi judul yang bakal mengisi acara tayangan pada festival yang dianjurkan buat kali ketiga itu ialah filem aksi fantasi, Cicakman 2; filem animasi popular, Geng: Pengembaraan Bermula; filem animasi yang pernah memenangi anugerah, My Telatori; dan filem pertama arahan M Subash yang menyentuh hati, Pensil.

Dianjurkan oleh A2K Media, festival terbabit hadir di Melbourne buat kali ketiga selepas kejayaan penganjurannya pada 2007 dan 2008.

Menurut penyelaras acara berkenaan, Farah Al Amin, lebih istimewa, festival filem itu kali ini diadakan bersempena dengan Minggu Malaysia (www.malaysiaweek.com.au) di sana.


Selain Festival Filem Australia Malaysia 2009, Minggu Malaysia turut memuatkan acara seperti Fiesta Malaysia, Malam Gemilang, Pesta Karier dan Pameran Batik.

"Kita mempunyai kira-kira 7,500 pelajar Malaysia di Melbourne. Paling tidak, mereka kini berpeluang menonton filem yang pernah mendapat tempat di kalangan penonton kita di tanah air.

"Di samping itu, pihak kami juga sudah pun menghantar surat memaklumkan penganjuran festival ini kepada 600 sekolah di kota berkenaan. Diharapkan maklum balas menggalakkan diterima daripada mereka," katanya pada sidang akhbar di Sri Pentas, Bandar Utama, baru-baru ini.

Farah memberitahu, sebagaimana tahun sebelumnya, penganjur turut berharap festival itu dapat dimeriahkan lagi dengan kehadiran pelakon, penerbit serta pengarah filem yang menyertainya.

"Kami turut merancang untuk mengadakan majlis dialog atau sesi soal jawab bersama wakil filem sejurus selepas majlis tayangan," katanya sambil memberitahu, Talentime bakal ditayangkan sebanyak dua kali sepanjang festival berlangsung.

Talentime yang menjadi filem terakhir Yasmin mengisahkan percintaan antara seorang remaja India dan gadis Melayu berdarah campuran setelah mereka bertemu pada sebuah pertandingan nyanyian. Ia dibarisi pelakon baru dan lama seperti Pamela Chong, Mahesh Jugal Kishor, Mohd Syafie Naswip, Howard Hon Kahoe, Jaclyn Victor, Azean Irdawaty, Harith Iskander, Ida Nerina, Adibah Noor dan Jit Murad.

Filem Muallaf berkisar pada dua adik-beradik Melayu yang melarikan diri daripada bapa mereka yang suka mendera. Pada pelarian itu, mereka berkenalan dengan jejaka Kristian yang mempunyai masa silam penuh kelam. Filem ini dibintangi Sharifah Amani, Sharifah Aleysha, Brian Yap, Datuk Rahim Razali, Ning Bazura, Tony Savarimuthu, Tan Mei Ling dan Yeo Yann Yann.

No comments: