Monday, December 21, 2009

Bung Moktar nafi akan kahwini Zizie Ezette



Tidak cukup kacak untuk Zizie?

Bung Moktar nafi akan kahwini Zizie Ezette


Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Bung Moktar Radin hari ini menafikan bahawa beliau akan berkahwin dengan pelakon terkenal tanah air, Zizie Ezette.

"Saya tidak cukup kacak untuk beliau," kata wakil rakyat BN itu ketika dihubungi melalui telefon selepas wakil media gagal menjejakinya di bangunan Parlimen.

Desas-desus yang mengatakan Bung Moktar, 50, akan berkahwin dengan Zizie, 31, (kanan) merebak dengan pantas di Parlimen sejak pelakon itu membuat pengakuan dilamar seorang ahli parlimen dari Sabah baru-baru ini.

Sebelum itu, Bung Moktar telah berjanji untuk datang ke bangunan Parlimen untuk berjumpa dengan beberapa wakil media yang ingin mendapatkan kepastian mengenai hubungan beliau dan Zizie.

Bagaimanapun, wakil media kemudiannya dimaklumkan melalui SMS bahawa beliau
sibuk dan terpaksa menghadiri satu mesyuarat hari ini.

"Sorry, there is no kahwin kahwin kahwin, hahahaha," katanya dalam satu lagi SMS kepada media.

Ditanya sama ada beliau telah melamar Zizie menerusi SMS, Bung Moktar tidak membalasnya.

Selain media, ramai ahli parlimen turut tercari-cari Bung Moktar (kiri) untuk mengesahkan perkara itu.

Rakan karib beliau, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz, ketika dihubungi, enggan memberi sebarang komen manakala Datuk Ismail Kassim (BN-Arau) pula berkata, perkara itu soal peribadi dan beliau tidak tahu mengenainya.

Bung Moktar telah berkahwin dan mempunyai empat anak. BERNAMA

Tuesday, December 1, 2009

Ralat hati Fauziah Gous




Ralat hati FG

Oleh Zaidi Mohamad
zaidim@bharian.com.my



Artis yang memiliki rambut cantik ini tidak mudah melatah dengan gosip yang melanda dirinya, malah anggap ia sebagai asam garam bergelar anak seni

MEMILIKI seraut wajah jelita dan pakej yang dianggap sempurna, Fouziah Gous, 27, pantas mencuri perhatian di kalangan penggiat seni dan peminat hiburan tempatan. Siapa menduga, di sebalik penyertaan ke bidang seni secara kebetulan, gadis pembuka kotak program Roda Impian ini makin bersinar.

Malah di awal kemunculannya, Pelakon Harapan Wanita Popular (Anugerah Shine Pantene) di Anugerah Skrin 2007 (ASK2007) ini hanya memilih bidang yang dicintainya kini secara sambilan. Namun, lama-kelamaan timbul minat yang mendalam hingga dia nekad meninggalkan kerjaya sebagai pramugari Penerbangan Malaysia (MAS).

Hingga kini, wajahnya terus laku mengisi skrin di layar perak mahupun di kaca TV. Kepercayaan yang diberi penerbit dan pengarah tidak sesekali dipandang ringan, malah terus menjadi azimat untuknya memacu kerjaya dengan lebih matang.

“Sudah genap dua tahun saya memilih bidang seni sebagai punca mata pencarian. Namun kalau nak ikutkan secara sambilan, ini tahun keempat saya. Kalau nak cakap soal puas hati, sebagai manusia biasa kita memang tidak pernah puas dengan apa yang dimiliki dan dicapai.

“Jika tahun pertama dan kedua berkecimpung dalam dunia ini, saya sifatkan ia sebagai tahun untuk saya mencuba memasarkan diri termasuk membina hubungan yang baik di kalangan pihak media. Lalu, sudah tiba masanya untuk saya membina karakter lakonan yang baik.



“Sekarang ini saya lebih mengkaji dan membuat penyelidikan di samping mengumpul rujukan langsung bagi memantapkan ilmu lakonan saya. Saya pernah mengikuti kursus pendek yang dianjurkan Line Clear, tetapi kini, saya lebih suka menimba pengalaman dan pengetahuan dengan pelakon lebih senior,” katanya yang mula diberi kepercayaan dan dorongan Prof A Razak Mohaideen mengenai selok belok dunia lakonan.

Hadir dalam dua persalinan rekaan Nik Erwan Roseli yang penuh dramatik, Fouziah seakan memberi perlambangan betapa berkobar dan membara semangatnya untuk terus mendaki ke puncak tertinggi sekali gus menempa nama sebagai antara pelakon terbaik negara.

Dalam perjalanan itu misinya juga sering terganggu dengan kekangan dan permasalahan yang sering dihadapi golongan seumpamanya. Fouziah juga tidak lepas menerima tempias gosip dikaitkan dengan golongan VIP dan termasuk orang penting yang berkaitan dengan stesen TV.

Rentetan itu, namanya mula dicop sebagai anak emas sebuah stesen kononnya tawaran yang diterimanya bertimbal balik kepada hubungan baiknya dengan lelaki berpengaruh itu. Bagaimanapun kisah itu terus berlalu sepi kerana Fouziah tidak mudah melatah dengan kisah panas yang mendekatinya.

“Kalau nak diikutkan memang saya sudah lali dengan isu ini kononnya sering dibayangi dengan stesen TV tertentu saja. Malah ada yang pernah mengusik saya, kalau buka stesen TV itu, balik-balik muka saya yang ada. Saya boleh andaikan mungkin juga mentaliti orang terhadap gosip itu membuatkan persepsi mereka menjadi begitu.

“Ada kalanya ralat juga di hati, sedangkan saya turut berlakon drama di stesen TV lain, tapi akhirnya orang asyik ingat kisah itu. Saya sering tanyakan kembali kepada kawan-kawan rapat seperti rakan media, berapa banyak sangat drama lakonan saya di stesen TV terbabit.

“Sebenarnya, jujur saya akui, tak banyak cerita lakonan saya di stesen TV itu. Nama pun gosip, saya tidak mampu menghentikannya. Selama ini pun saya tidak pernah kecoh mengenai apa juga gosip yang timbul. Saya sudah puas menangis dan tertekan kerana perihal ini, tapi cukuplah keluarga saya tahu siapa saya,” kata Fouziah yang mengaku pernah meluahkan kekecewaannya terhadap gosip berkenaan kepada seorang editor hiburan sebuah penerbitan.

Selain itu, gosip yang paling dominan di dalam diari hidupnya kini ialah mengenai hubungan akrabnya dengan Iqram Dinzly. Cerita itu terus diperkatakan hingga kini. Malah ada yang pernah berbisik membawa berita kononnya hubungan baik mereka sudah sampai ke tahap membabitkan hati dan perasaan.

“Sudah empat tahun usia ukhuwah kami terjalin. Lumrah bergelar manusia kita juga tidak lepas daripada berasa jauh hati dan tidak bertegur sapa dalam beberapa tempoh waktu. Kita tidak pernah sempurna, setiap jalinan hubungan pasti ada pasang surutnya.

“Selama berkawan, kita ada kalanya mungkin keliru dengan garisan yang ditetapkan apatah lagi sebagai manusia kita ada perasaan kasih dan sayang. Zon selesa ini akhirnya sesekali mengelirukan kami sama ada perasaan sayang itu datang atas perasaan sahabat atau betul-betul cinta.

“Mungkin pada akhirnya kami rasa, perasaan itu lebih kuat sebagai sahabat. Kami pun bukan budak-budak lagi nak memikirkan cinta monyet. Setakat nak cinta sekejap, lebih baik tak payah. Saya pun sudah tiada masa untuk cinta main-main. Lebih baik kami memikirkan masa depan,” katanya yang tidak menidakkan begitu selesa berteman dengan Iqram, malah, pelakon itu juga satu-satunya kawan susah dan senangnya selain keluarga.

Ditanya, andai jodoh kuat menyatukan dia dengan Iqram, pintas model iklan berambut lebat dan cantik itu, sesuatu sewajarnya diperbetulkan terlebih dulu sebelum ia pergi lebih jauh. Katanya, status sahabat dan kekasih dengan sendirinya memberi makna berbeza.

“Kalau berkawan, kami mungkin boleh selamba dan berkongsi apa saja tanpa batasan. Tapi mampukah kami melakukan perkara yang sama kalau sudah bergelar suami isteri dan tinggal serumah. Saya sendiri tak mampu menjelaskannya kerana semuanya bersifat subjektif,” katanya yang sedang sibuk melunaskan baki penggambaran telefilem Catatan Kelmarin di Bahau, Negeri Sembilan sebelum ke lokasi seterusnya untuk telefilem Rembak.

'Jodoh' kuat dengan Iqram

MENARIKNYA dua telefilem itu turut membabitkan Fouziah dengan Iqram. Bagi telefilem Catatan Kelmarin, mereka menjadi adik beradik, manakala Rembak pula menyaksikan mereka memadu kasih sebagai pasangan cinta. Insya-Allah untuk filem Rasuk terbitan White Merpati Entertainment, dia sekali lagi bergandingan dengan Iqram sebagai pasangan suami isteri.

“Saya begitu teruja untuk menjalani penggambaran filem ini mulai 12 November lalu. Kami akan berkampung di Janda Baik, Pahang. Karakter saya sebagai Seri Melati memerlukan saya bermain dengan emosi dan ekspresi seorang wanita yang dirasuk. Menariknya, saya juga tidak akan disolek cantik untuk watak ini.

“Difahamkan, saya terpilih memegang watak itu kerana mata yang dimiliki. Tawaran untuk watak ini saya terima sejak enam bulan lalu. Insya-Allah hujung tahun, saya akan kembali ke produksi Line Clear untuk penggambaran filem Ratu.

“Kali terakhir saya terbabit dengan Line Clear bagi filem Satu Hati Dua Jiwa ialah setahun yang lalu. Insya-Allah, filem mengenai kembar siam ini akan ditayangkan di pawagam pada Januari depan. Jangan lupa nantikan filem itu ya. Saya juga akan menjadi hos bagi prelude Anugerah Skrin 2009,” katanya sambil memberitahu dramanya Kasih Tercipta sedang disiarkan di Astro.

Info Fouziah Gous

NAMA PENUH: Nor Fouziah Mohd Gous

TARIKH LAHIR: 11 Disember 1982

ASAL: Kuala Lumpur

PENDIDIKAN: Diploma Kesetiausahaan dari Kolej Sistematik, Kuala Lumpur

KOMERSIAL TV: Adabi, Homesoy, Kentucky Fried Chicken (KFC), Fab dan Munchies

DRAMA: Sutera Maya, Enigma, Demi, Sangga Saadah, Qa'naah, Cinta Medik, Impak Maksima The Series, Otai The Series, Pencak Akhir, Anak Mami, Kain Ketat Isabella, Kasih Tercipta dan Spa Q 2

FILEM: Bujang Senang, Malaikat Maut, Skrip 7707, Rasukan Ablasa, Sifu & Tongga, Dua Hati Satu Jiwa

PROGRAM TV: Sampaikan Raya 2008 (TV3) dan Ketuk-Ketuk Raya (RTM)



Info menarik Fouziah Gous

  • Cita-citanya sebelum bergelar pelakon ialah menjadi pembaca berita, namun disebabkan tawaran gaji yang tidak baik, dia memilih untuk terus bergelar pramugari ketika itu.

  • Turut mengundang Iqram untuk mempromosikan label Biodex di karnival seperti Jom Heboh

  • Berdarah campuran Pakistan, Melayu (bapa) dan Cina (emak)

  • Anak bongsu daripada lima beradik

  • Turut terpilih menjadi wanita tercantik di dunia di tangga ke-46 menerusi majalah FHM.