Tuesday, October 20, 2009

Sharifah Sofea Kahwin dengan Syed Ismail




Memilih lelaki kacukan Melayu dan Jordan, Syed Ismail Syed Ibrahim Al- Ali, 31, sebagai pasangan hidup, bintang drama Nur Kasih itu dinikahkan sendiri bapanya, Syed Hussein Syed Harun di hadapan Penolong Pendaftar Nikah, Cerai dan Rujuk Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) merangkap Imam Masjid Wilayah Persekutuan, Mohd Nazarudi Mohd Nadzir.

Menerima mas kahwin RM100 dan wang hantaran RM20,000, Sharifah Sofia berkata perasaannya kini gembira bercampur sedih. Menurutnya lagi, terasa macam dalam khayalan pun ada kerana cukup sukar untuk mentafsir perasaan sebenar.

"Walaupun sudah memiliki apa yang diimpikan hati, tetapi perasaan sedih memang tidak dapat ditolak. Mungkin, saya ini anak perempuan bongsu dalam keluarga dan apabila sudah berkahwin semestinya keutamaan kini difokuskan kepada suami.

"Namun, saya bersyukur semuanya berjalan lancar dan macam tidak sabar untuk balik ke rumah untuk menguruskan keluarga baru ini. Apapun, diharapkan rumah tangga dibina ini akan berkekalan kerana saya memilih Syed Ismail kerana mencintainya.

"Boleh dikatakan, saya suka semua yang ada pada dirinya (suami) dan sukar untuk diungkap dengan kata-kata. Cukuplah, kami saling memahami serta menyayangi antara satu sama lain," katanya menjalin cinta dengan suami selama dua setengah tahun.

Menyentuh aktiviti seninya selepas ini, anak ketiga daripada empat beradik itu memaklumkan dia akan tetap aktif dalam lakonan. Cuma, setiap tawaran berlakon diterima akan dibincang dan mendapatkan keizinan daripada suami lebih dulu.

"Berlakon adalah karier saya dan akan diteruskan walaupun sekarang sudah berkahwin. Lagipun, suami tidak menghalang kerana dia tahu minat saya. Bahkan, dalam soal ini apa yang boleh dikatakan suami menjadi pendorong saya dalam karier ini.

"Mungkin status sudah berubah, tetapi kehidupan saya akan diteruskan seperti biasa dengan gembira. Malah, saya juga tidak membuat perancangan keluarga apabila mahu menimang cahaya mata. Andai kata Tuhan memberinya cepat, kami akan terima," katanya.

Hanya dirisik pada 27 Mac lalu, pasangan sama cantik dan padan ini selesa tidak memilih untuk mengikat pertunangan. Kata Sharifah Sofia, cukuplah hanya majlis risik dan terus berkahwin saja kerana ia mudah serta melaksanakan apa yang wajib.

Sementara itu, Syed Ismail berkata dia memilih Sharifah Sofia sebagai suri hati kerana si manis itu memiliki ciri wanita impiannya. Kata ahli perniagaan dan anak tunggal dalam keluarga itu, Sharifah Sofia yang dikenali adalah 'wanita sempurna' untuknya.

"Seperti isteri saya, sukar untuk kami jelaskan perasaan sebenar memilih antara satu sama lain. Yang pasti, saya berasakan kehadiran Sharifah Sofia dalam hidup ini sebagai 'pelengkap' diri. Dia (Sharifah Sofia) orang sangat penting dalam hati saya.

"Kini, kami hanya berfikir melakukan segala perkara bersama. Melalui perkahwinan ini, semuanya sudah sah dan masyarakat tidak lagi boleh berkata apa-apa mengenai kami. Apa yang penting, saya berdoa semoga perkahwinan kami kekal ke akhir hayat," katanya.

Menyentuh destinasi bulan madu, pasangan yang akan mengadakan majlis resepsi tertutup untuk saudara-mara dan kenalan di Hotel Concorde, Kuala Lumpur, minggu depan berkata mereka merancang ke Maldives dan Colorado, Amerika Syarikat.

Kata Syed Ismail, dia dan isteri memilih Kepulauan Maldives kerana mahu menyelam bersama ke dasar laut dan selepas itu baru berkunjung ke Colorado pula. Bagaimanapun, buat masa ini tarikh untuk pergi berbulan madu belum ditetapkan.

Pada majlis pernikahan itu, pengantin perempuan membawa sembilan dulang hantaran berupa telefon bimbit Blackberry/ gajet, kemeja jenama Boss, al-Quran, cincin, komputer riba, tali pinggang/ dompet Boss, coklat, jam tangan dan sirih junjung.

Manakala dibalas pula dengan tujuh dulang hantaran daripada pihak pengantin lelaki bertemakan perak iaitu beg tangan/ dompet jenama Coach, sepasang persalinan, sejadah/ telekung, Al-Quran, coklat, set perhiasan mutiara serta sirih junjung.

Saturday, October 17, 2009

Lagenda Budak Setan serlah bakat Lisa Surihani

Dengarnya ... Lagenda Budak Setan serlah bakat Lisa Surihani

Oleh Normah Becok


Lisa Surihani

SUDAH lama Cik Normah nak mencoretkan cerita mengenai Lisa Surihani dalam ruangan ini. Sehari ke sehari, Cik Normah hampir lupa mengenainya. Beberapa hari sebelum kita menyambut Syawal, kawan sepejabat Cik Normah ada menghadiri majlis berbuka puasa Astro Shaw dan sesi pratonton filem Papadom.

Dalam pada itu, pihak Astro Shaw ada menyiarkan treler filem terbaru yang sedang menanti waktu tayangan. Dalam banyak filem yang ditunjukkan, kawan Cik Normah cukup tertambat hati menanti filem Lagenda Budak Setan yang diarahkan Sharad Sharan.

Tak silap Cik Normah ini filem ketiganya yang diterbitkan di Malaysia selepas Diva dan Tipu Kanan Tipu Kiri. Mulanya Cik Normah sendiri tak sangka filem itu diarahkan Sharad. Bukannya apa berdasarkan trek rekod dua filemnya terdahulu, Cik Normah nampak Sharad masih belum mampu memikat hati penonton.


Filem Lagenda Budak Setan yang diadaptasi daripada sebuah novel karya Ahadiat Akashah yang pernah popular sekitar tahun 1985. Kata kawan Cik Normah, babak adegan antara Ayu lakonan Lisa dan Azmi (Que Haidar) ternyata mampu meruntun jiwa hinggakan tetamu yang hadir ketika majlis berbuka puasa itu diadakan bagaikan terpaku.

Ironinya, lakonan Lisa menampakkan sisi kematangan yang sangat jelas ketara. Lisa tidak lagi seperti berada di dalam kepompong lakonannya dalam filem terbitan Metrowealth sebelum ini. Apabila kawan Cik Normah cakap macam itu, sejujurnya Cik Normah teruja nak ke panggung untuk menonton filem itu.

Lalu di sini, persoalannya adakah ini bermakna bakat Lisa tak menyerlah di bawah syarikat MIG? Cik Normah tak berani nak komen lebih, kita beri saja Lisa paling kurang setahun lagi untuk membuktikan dia bukan sekadar cantik, sebaliknya ada bakat dan pintar.

Oh ya, nampaknya selepas ini kita mungkin tak akan dapat tengok lagi eksperimentasi Sharad untuk mengarah filem Melayu, namun dengan gaya ala filem Hindustan. Buktinya filem Diva dan Tipu Kanan Tipu Kiri memang tak menjadi. Baguslah sekurang-kurangnya Cik Normah tidak lagi disajikan dengan filem ‘sendu’.

Tuesday, October 13, 2009

Sharifah Sofea naik pelamin | Sharifah sofea kahwin

Sharifah Sofea

Dengarnya... Sharifah Sofea naik pelamin 18 Oktober
Oleh Normah Becok

TAHNIAH Cik Normah ucapkan kepada pelakon Sharifah Sofea yang akan melangsungkan pernikahan dengan jejaka kacukan sepertinya juga, Syed Ismail Al Ali pada 18 Oktober ini di Masjid Wilayah, Kuala Lumpur. Jejaka berusia 31 tahun berdarah campuran Arab dan Melayu itu bekerja sebagai ahli perniagaan.

Mereka kenal sejak kecil lagi, namun cuma sejak dua tahun setengah yang lalu, hati mula disemai perasaan sayang. Mereka kenal atas kawan, malahan kakaknya turut mengenali Syed Ismail. Majlis persandingan akan diadakan di sebuah hotel terkemuka seminggu selepas tarikh pernikahan.

Cik Normah diberitahu rakan sepejabat yang menemuinya Khamis lalu, kedua-dua majlis (nikah dan sanding) dibuat secara tertutup. Bagaimanapun, pelakon bertubuh montok itu mengalu-alukan kedatangan rakan media pada hari pernikahan sekitar jam 11 pagi. Amboi, nak buat secara tertutup konon. Tapi kenalah ingat anda itu selebriti.

Peminatnya mesti nak tahu mengenai hari bahagianya. Terpulang kepada bos Cik Normah untuk menentukan sama ada majlis itu perlu diberi liputan atau tidak.

Apa-apapun, Cik Normah tak ada masalah dengan Sharifah Sofea dan harap perkahwinan itu nanti akan membahagiakannya hingga ke akhir hayat. Baguslah kahwin cepat, supaya dapat elak maksiat dan dosa. Cik Normah nak ambil kesempatan ini untuk ucapkan selamat pengantin baru kepada Sharifah Sofea dan bakal suaminya.

Kawan sepejabat Cik Normah beritahu, pasangan ini merancang untuk berbulan madu di Maldives, Switzerland atau New Zealand. Tak silap Cik Normah, Sharifah Sofea akan melaram kebaya klasik rekaan Amir Luqman untuk majlis bersanding nanti.