Wednesday, September 30, 2009

Sah! Umie Aida Bertunang Dengan Datuk Paduka Khairuddin

‘Doa Umie Aida makbul
Oleh Muhd Izawan Baharin
izawan@hmetro.com.my


KUALA LUMPUR: Tarikh 10 Syawal dipilih aktres Umie Aida untuk mengikat tali pertunangan dengan kekasih hatinya, seorang ahli perniagaan bergelar Datuk.

Umie Aida atau nama sebenarnya Umi Khalsum Rahmad Ali, 36, berkata majlis itu akan diadakan pada jam 8 malam di I-Zen Mont Kiara 1, Selasa ini.

Dia mengesahkan tarikh dan tempat berkenaan melalui SMS dihantar kepada Harian Metro, semalam.

Dalam laporan akhbar sebelum ini, Umie mengakui dia sudah sampai seru untuk berumahtangga seperti rakan seperjuangannya yang lain.

“Soal jodoh ketentuan Tuhan dan mungkin doa saya di Makkah untuk mendapat jodoh sudah dimakbulkan Tuhan. Saya tidak jangka ia akan berlaku, tetapi sebagai hamba-Nya, saya reda dengan apa ditentukan Tuhan.

“Terus terang, perasaan saya pada si dia berlainan sama sekali. Dia lelaki yang matang, penyayang dan lembut orangnya. Mungkin kerana usianya sudah pertengahan 40-an,” katanya.

Kisah mengenai bakal suaminya yang juga seorang duda dua anak dengan pangkal nama K bukan lagi rahsia di kalangan peminat dan media, malah Umie mengakui sudah melakukan sedikit persiapan menjelang hari bersejarah itu.

Pereka senior, Bill Keith diberi tanggungjawab menyempurnakan persalinan pada hari pertunangannya nanti.

Umie sebelum ini turut berkata, dua anak angkatnya, Daniel, 16 dan Helmi, 15, juga mendoakan yang terbaik buatnya.

“Kedua-dua anak saya bersedia menerima kehadiran orang baru dalam kehidupan kami sekeluarga. Maklumlah, mereka sudah remaja dan memahami apa yang berlaku.

“Saya juga tidak ada masalah menerima kehadiran bakal dua anak tiri nanti kerana sudah mempunyai dua anak angkat yang dipelihara sejak kecil,” katanya.

================================

Umie Aida nikah Januari 2010

KUALA LUMPUR: Cincin tunang bertatahkan berlian daripada koleksi jenama mewah, Chopard mengikat pelakon jelita, Umie Aida atau Umie Kalsom Rahmad dengan putera idamannya, Datuk Paduka Khairuddin Abu Hassan, malam tadi.

Cincin jenama kegemarannya itu disarungkan sendiri bakal ibu mentua, Balkish Ahmad, 70, dalam majlis pertunangan yang dilangsungkan dalam suasana ringkas, namun romantis bertemakan putih dan biru di kediaman mewah I-Zen, Mont Kiara.

Penerima anugerah Pelakon Wanita Terbaik 2003 (Festival Filem Malaysia ke-16) itu yang pernah kecundang beberapa kali dalam percintaan kelihatan cukup manis dan anggun dengan persalinan biru firus rekaan Bill Keith.

Apabila ditemui di akhir majlis, Umie Aida memaklumkan media majlis pernikahannya akan diadakan pada Januari 2010.

Bagaimanapun, tunangan Umie Aida yang mesra disapa Abang K tidak hadir berikutan menghormati adat Melayu selain tidak sedia berhadapan dengan media.

“Insya-Allah, kami akan bernikah awal Januari tahun depan. Bagaimanapun, saya seorang yang suka berterus-terang dan di sini ingin memaklumkan majlis pernikahan kami hanya membabitkan keluarga kedua-dua pihak saja.

“Maaf kerana tidak dapat mengundang media kerana hasil perbincangan kedua-dua pihak, kami memutuskan agar diberikan sedikit ruang dan berharap wartawan dapat menghormati pendirian kami.

“Bagaimanapun, kami cuba memberikan kerjasama dengan memberi maklumat mengenai pernikahan itu nanti. Bagaimanapun, jangan risau kerana pada majlis persandingan nanti, pihak media pasti dijemput,” katanya.

Umie yang pernah menyatakan keengganan mendirikan rumah tangga sebelum ini turut berkongsi keistimewaan tunangan yang menduda 16 tahun sehingga dia terpikat dan terfikir untuk berkahwin.

“Saya nampak keikhlasannya bukan saja menerima diri saya seadanya, tetapi memikul tanggungjawab yang saya pikul selama ini.

“Saya lihat Abang K melakukan sesuatu tanpa perlu saya paksa. Dia sendiri berusaha menambat hati anak-anak begitu juga keluarga. Mungkin kerana itulah hati saya terpaut,” katanya yang mempunyai dua anak angkat Mohd Daniel Firdaus, 15 dan Mohd Dzulhelmy, 14.





Anggun...Umie kelihatan jelita dengan persalinan berwarna biru firus hasil rekaan Bill Keith - foto THE STAR oleh RICKY LAI

No comments: