Monday, September 28, 2009

Irma dan Nabil Raya Sakan

Kejutan Irma kepada Nabil

Oleh Zaidi Mohamad
zaidim@bharian.com.my


PASANGAN kekasih yang diharap hubungan mereka akan berakhir ke gerbang perkahwinan.

Pemberian hadiah lambang istimewa ikatan kasih antara mereka

TIDAK ada apa yang lebih membahagiakan hati Irma Hasmie apabila majlis rumah terbuka anjurannya dan keluarga dihadiri insan tersayang yang cukup bererti di dalam hidup.

Malah lebih bermakna, majlis yang diadakan Jumaat lalu (25 September) di kediaman keluarganya, Desa Coalfields, Sungai Buloh turut disempurnakan dengan sambutan hari lahir kekasih hati Irma sendiri, Nabil.


Ia diraikan lebih awal sehari kerana Bintang Paling Popular, Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2008 itu menyambut ulang tahun kelahirannya yang ke-26 pada 26 September (Sabtu). Irma yang akan kembali ke set penggambaran Awan Dania musim kedua sempat membelikan seluar jenama Ed Hardy, Ipod dan kad ucapan buat Nabil.


“Alang-alang keluarga Nabil dan tetamu sudah ada, jadi Irma ambil kesempatan untuk meraikan hari lahirnya. Bukan kejutan pun, sebab Irma awal-awal lagi sudah memaklumkan kepadanya mengenai sambutan ini. Cuma dia (Nabil) ingat sambutan biasa saja tanpa membabitkan potongan kek.

“Sejujurnya Irma gembira sangat kerana ramai sangat kawan yang dijemput sudi meluangkan masa datang ke majlis ini. Rasa seronok dan dihargai sangat biarpun Irma tahu bukan dekat nak datang sini. Ada yang sesat cari rumah tapi akhirnya sampai juga,” kata Irma yang turut menghadiahkan sepasang baju Melayu yang dipakai Nabil pada majlis ini.

DARI kiri, IRMA tak menang tangan melayan tetamu. IRma membawakan kek buat buah hatinya, Nabil.

Kehadiran tetamu yang berduyun-duyun ke majlis rumah terbukanya menyebabkan Irma dilihat begitu sibuk untuk melayan mereka. Pelakon berusia 27 tahun ini juga tidak lekang memohon maaf daripada tetamu sekiranya ada kekurangan terhadap majlis yang diadakannya itu.

“Rumah terbuka ini menggabungkan jemputan daripada kawan Irma, ibu dan hinggalah ke adik Irma. Kalau sebelum ini mereka datang beraya ikut giliran dan kesesuaian masa, tapi untuk tahun ini semua diundang serentak. Paling seronok Irma dapat bertemu semula dengan 10 orang kawan asrama Toh Puan Norashikin, Yayasan Selangor.

“Ada di antara kawan Irma itu sudah datang memangku bayi dan ada pula yang mengambil kesempatan mengedarkan kad kahwin. Kenangan ini seperti menyegarkan kembali memori lama. Musim raya ini juga sudah dua kali Nabil datang ke rumah Irma. Kali pertama Nabil datang masa raya pertama lalu.

“Irma juga nak ucapkan terima kasih kepada Pak Engku dari Kuzie Katering yang sudi menaja makanan seperti sate dan kuih muih. Tak lupa juga kepada syarikat pembekal peralatan bankuet, Madetill Event Management (MEM) Sdn Bhd yang dimiliki bapa saudara Irma. Malahan, Irma dan Nabil turut dilantik sebagai duta kepada MEM,” kata Irma.

DARI kiri, Ibu Irma, Ropitah abdul Hassan menyuapkan kek ke mulut Nabil. NabIl dan Irma bergambar kenangan dengan tetamu yang hadir.

Kemeriahan rumah terbuka Irma Hasmi ini dilihat seolah-olah sudah menjadi majlis pernikahan pula. Manakala, Nabil yang ditemui sempat berseloroh memperkenalkan ibu Irma sebagai ibu mentuanya. Malahan sehari selepas itu, Nabil mengadakan kenduri kenduri kesyukuran di kampungnya di Mambau, Seremban. Irma dan keluarganya juga berkesempatan ke rumah keluarga Nabil untuk menghadiri kenduri itu.

Sudah mendapat restu keluarga

Melihat kepada keakraban keluarga Nabil dan Irma, ternyata dapat disimpulkan hubungan cinta mereka masing-masing sudah direstui keluarga masing-masing. Bagaimanapun, kedua-duanya belum bersedia untuk diijab kabul pada tahun ini.

Ini kerana Nabil mahu memberi laluan kepada adiknya, Siti Sarah untuk melangsungkan perkahwinannya terlebih dahulu pada Disember nanti. Nabil sendiri mensasarkan dua tahun lagi untuk memikirkan hal perkahwinan kerana mahu mengumpul harta.

“Memang tiada majlis merisik. Apa yang ditulis rakan media sebelum ini tak lebih sekadar gimik dan gurauan semata-mata. Nabil pun akan mempertimbangkan adat bertunang selepas disarankan rakan media.

“Keluarga kami pun sudah rapat dan sporting dan Irma sendiri seronok dengan situasi ini. Mungkin tahun depan atau hujung 2010, semuanya belum dapat dipastikan dan terpulang kepada Nabil. Sebagai manusia biasa, kita hanya merancang dan selebihnya semua atas kuasa Tuhan,” katanya.

Mengenai kerjaya seninya, biarpun sudah agak kukuh dikenali di persada seni, Irma sedar namanya tidaklah sepopular yang disangka. Malah, ada yang mengandaikan Irma lebih dikenali sebagai permata hati Nabil berbanding kerjayanya.

“Saya harus bersyukur tawaran berlakon itu semakin mencurah-curah. Ini bukti kisah peribadi kami tidak menjadi penghalang untuk saya terus mencari rezeki di dalam bidang seni. Insya-Allah selepas ini saya mungkin akan terbabit dengan dua telefilem,” katanya.

Ditanya mengenai apakah dia dan Nabil kini terlalu banyak pendedahan di media, kata si tinggi lampai itu, apa yang dilakukan tidak lebih sebagai memenuhi permintaan rakan media.

No comments: