Tuesday, October 20, 2009

Sharifah Sofea Kahwin dengan Syed Ismail




Memilih lelaki kacukan Melayu dan Jordan, Syed Ismail Syed Ibrahim Al- Ali, 31, sebagai pasangan hidup, bintang drama Nur Kasih itu dinikahkan sendiri bapanya, Syed Hussein Syed Harun di hadapan Penolong Pendaftar Nikah, Cerai dan Rujuk Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) merangkap Imam Masjid Wilayah Persekutuan, Mohd Nazarudi Mohd Nadzir.

Menerima mas kahwin RM100 dan wang hantaran RM20,000, Sharifah Sofia berkata perasaannya kini gembira bercampur sedih. Menurutnya lagi, terasa macam dalam khayalan pun ada kerana cukup sukar untuk mentafsir perasaan sebenar.

"Walaupun sudah memiliki apa yang diimpikan hati, tetapi perasaan sedih memang tidak dapat ditolak. Mungkin, saya ini anak perempuan bongsu dalam keluarga dan apabila sudah berkahwin semestinya keutamaan kini difokuskan kepada suami.

"Namun, saya bersyukur semuanya berjalan lancar dan macam tidak sabar untuk balik ke rumah untuk menguruskan keluarga baru ini. Apapun, diharapkan rumah tangga dibina ini akan berkekalan kerana saya memilih Syed Ismail kerana mencintainya.

"Boleh dikatakan, saya suka semua yang ada pada dirinya (suami) dan sukar untuk diungkap dengan kata-kata. Cukuplah, kami saling memahami serta menyayangi antara satu sama lain," katanya menjalin cinta dengan suami selama dua setengah tahun.

Menyentuh aktiviti seninya selepas ini, anak ketiga daripada empat beradik itu memaklumkan dia akan tetap aktif dalam lakonan. Cuma, setiap tawaran berlakon diterima akan dibincang dan mendapatkan keizinan daripada suami lebih dulu.

"Berlakon adalah karier saya dan akan diteruskan walaupun sekarang sudah berkahwin. Lagipun, suami tidak menghalang kerana dia tahu minat saya. Bahkan, dalam soal ini apa yang boleh dikatakan suami menjadi pendorong saya dalam karier ini.

"Mungkin status sudah berubah, tetapi kehidupan saya akan diteruskan seperti biasa dengan gembira. Malah, saya juga tidak membuat perancangan keluarga apabila mahu menimang cahaya mata. Andai kata Tuhan memberinya cepat, kami akan terima," katanya.

Hanya dirisik pada 27 Mac lalu, pasangan sama cantik dan padan ini selesa tidak memilih untuk mengikat pertunangan. Kata Sharifah Sofia, cukuplah hanya majlis risik dan terus berkahwin saja kerana ia mudah serta melaksanakan apa yang wajib.

Sementara itu, Syed Ismail berkata dia memilih Sharifah Sofia sebagai suri hati kerana si manis itu memiliki ciri wanita impiannya. Kata ahli perniagaan dan anak tunggal dalam keluarga itu, Sharifah Sofia yang dikenali adalah 'wanita sempurna' untuknya.

"Seperti isteri saya, sukar untuk kami jelaskan perasaan sebenar memilih antara satu sama lain. Yang pasti, saya berasakan kehadiran Sharifah Sofia dalam hidup ini sebagai 'pelengkap' diri. Dia (Sharifah Sofia) orang sangat penting dalam hati saya.

"Kini, kami hanya berfikir melakukan segala perkara bersama. Melalui perkahwinan ini, semuanya sudah sah dan masyarakat tidak lagi boleh berkata apa-apa mengenai kami. Apa yang penting, saya berdoa semoga perkahwinan kami kekal ke akhir hayat," katanya.

Menyentuh destinasi bulan madu, pasangan yang akan mengadakan majlis resepsi tertutup untuk saudara-mara dan kenalan di Hotel Concorde, Kuala Lumpur, minggu depan berkata mereka merancang ke Maldives dan Colorado, Amerika Syarikat.

Kata Syed Ismail, dia dan isteri memilih Kepulauan Maldives kerana mahu menyelam bersama ke dasar laut dan selepas itu baru berkunjung ke Colorado pula. Bagaimanapun, buat masa ini tarikh untuk pergi berbulan madu belum ditetapkan.

Pada majlis pernikahan itu, pengantin perempuan membawa sembilan dulang hantaran berupa telefon bimbit Blackberry/ gajet, kemeja jenama Boss, al-Quran, cincin, komputer riba, tali pinggang/ dompet Boss, coklat, jam tangan dan sirih junjung.

Manakala dibalas pula dengan tujuh dulang hantaran daripada pihak pengantin lelaki bertemakan perak iaitu beg tangan/ dompet jenama Coach, sepasang persalinan, sejadah/ telekung, Al-Quran, coklat, set perhiasan mutiara serta sirih junjung.

No comments: