Saturday, October 17, 2009

Lagenda Budak Setan serlah bakat Lisa Surihani

Dengarnya ... Lagenda Budak Setan serlah bakat Lisa Surihani

Oleh Normah Becok


Lisa Surihani

SUDAH lama Cik Normah nak mencoretkan cerita mengenai Lisa Surihani dalam ruangan ini. Sehari ke sehari, Cik Normah hampir lupa mengenainya. Beberapa hari sebelum kita menyambut Syawal, kawan sepejabat Cik Normah ada menghadiri majlis berbuka puasa Astro Shaw dan sesi pratonton filem Papadom.

Dalam pada itu, pihak Astro Shaw ada menyiarkan treler filem terbaru yang sedang menanti waktu tayangan. Dalam banyak filem yang ditunjukkan, kawan Cik Normah cukup tertambat hati menanti filem Lagenda Budak Setan yang diarahkan Sharad Sharan.

Tak silap Cik Normah ini filem ketiganya yang diterbitkan di Malaysia selepas Diva dan Tipu Kanan Tipu Kiri. Mulanya Cik Normah sendiri tak sangka filem itu diarahkan Sharad. Bukannya apa berdasarkan trek rekod dua filemnya terdahulu, Cik Normah nampak Sharad masih belum mampu memikat hati penonton.


Filem Lagenda Budak Setan yang diadaptasi daripada sebuah novel karya Ahadiat Akashah yang pernah popular sekitar tahun 1985. Kata kawan Cik Normah, babak adegan antara Ayu lakonan Lisa dan Azmi (Que Haidar) ternyata mampu meruntun jiwa hinggakan tetamu yang hadir ketika majlis berbuka puasa itu diadakan bagaikan terpaku.

Ironinya, lakonan Lisa menampakkan sisi kematangan yang sangat jelas ketara. Lisa tidak lagi seperti berada di dalam kepompong lakonannya dalam filem terbitan Metrowealth sebelum ini. Apabila kawan Cik Normah cakap macam itu, sejujurnya Cik Normah teruja nak ke panggung untuk menonton filem itu.

Lalu di sini, persoalannya adakah ini bermakna bakat Lisa tak menyerlah di bawah syarikat MIG? Cik Normah tak berani nak komen lebih, kita beri saja Lisa paling kurang setahun lagi untuk membuktikan dia bukan sekadar cantik, sebaliknya ada bakat dan pintar.

Oh ya, nampaknya selepas ini kita mungkin tak akan dapat tengok lagi eksperimentasi Sharad untuk mengarah filem Melayu, namun dengan gaya ala filem Hindustan. Buktinya filem Diva dan Tipu Kanan Tipu Kiri memang tak menjadi. Baguslah sekurang-kurangnya Cik Normah tidak lagi disajikan dengan filem ‘sendu’.

No comments: