Wednesday, September 30, 2009

Terhangat : 6 filem Malaysia ke Melbourne

6 filem Malaysia ke Melbourne

oleh : beritaharian.com.my

PENGARAH Yasmin Ahmad mungkin sudah meninggalkan kita semua buat selama-lama. Namun, namanya pasti akan terus diingati dek kekuatan karya arahannya, tidak kiralah dalam bentuk iklan, telefilem mahupun filem. Majlis apresiasi dan tayangan filem arahannya sering saja diadakan bagi mengingati jasa wanita ini dalam industri perfileman negara.

Terbaru, dua karya terakhir Yasmin akan ditayangkan kepada umum pada Festival Filem Australia Malaysia 2009 yang berlangsung di Australian Centre of Moving Image (ACMI), Federation Square, Flinders Street, Melbourne pada 4 hingga 7 Oktober ini.

Pengarah yang diiktiraf pada peringkat nasional dan antarabangsa, Yasmin bagaimanapun sering kali menyatakan, filemnya ialah sebuah cerita mengenai kasih sayang dan insaniah.


Seandainya Talentime yang menobatkan Yasmin sebagai Pengarah Terbaik pada Festival Filem Malaysia Ke-22 baru-baru ini dijadualkan sebagai filem untuk tayangan pembukaan, filem Muallaf pula akan ditayang pada majlis penutup festival.


Selain daripada dua filem arahan Yasmin itu, empat lagi judul yang bakal mengisi acara tayangan pada festival yang dianjurkan buat kali ketiga itu ialah filem aksi fantasi, Cicakman 2; filem animasi popular, Geng: Pengembaraan Bermula; filem animasi yang pernah memenangi anugerah, My Telatori; dan filem pertama arahan M Subash yang menyentuh hati, Pensil.

Dianjurkan oleh A2K Media, festival terbabit hadir di Melbourne buat kali ketiga selepas kejayaan penganjurannya pada 2007 dan 2008.

Menurut penyelaras acara berkenaan, Farah Al Amin, lebih istimewa, festival filem itu kali ini diadakan bersempena dengan Minggu Malaysia (www.malaysiaweek.com.au) di sana.


Selain Festival Filem Australia Malaysia 2009, Minggu Malaysia turut memuatkan acara seperti Fiesta Malaysia, Malam Gemilang, Pesta Karier dan Pameran Batik.

"Kita mempunyai kira-kira 7,500 pelajar Malaysia di Melbourne. Paling tidak, mereka kini berpeluang menonton filem yang pernah mendapat tempat di kalangan penonton kita di tanah air.

"Di samping itu, pihak kami juga sudah pun menghantar surat memaklumkan penganjuran festival ini kepada 600 sekolah di kota berkenaan. Diharapkan maklum balas menggalakkan diterima daripada mereka," katanya pada sidang akhbar di Sri Pentas, Bandar Utama, baru-baru ini.

Farah memberitahu, sebagaimana tahun sebelumnya, penganjur turut berharap festival itu dapat dimeriahkan lagi dengan kehadiran pelakon, penerbit serta pengarah filem yang menyertainya.

"Kami turut merancang untuk mengadakan majlis dialog atau sesi soal jawab bersama wakil filem sejurus selepas majlis tayangan," katanya sambil memberitahu, Talentime bakal ditayangkan sebanyak dua kali sepanjang festival berlangsung.

Talentime yang menjadi filem terakhir Yasmin mengisahkan percintaan antara seorang remaja India dan gadis Melayu berdarah campuran setelah mereka bertemu pada sebuah pertandingan nyanyian. Ia dibarisi pelakon baru dan lama seperti Pamela Chong, Mahesh Jugal Kishor, Mohd Syafie Naswip, Howard Hon Kahoe, Jaclyn Victor, Azean Irdawaty, Harith Iskander, Ida Nerina, Adibah Noor dan Jit Murad.

Filem Muallaf berkisar pada dua adik-beradik Melayu yang melarikan diri daripada bapa mereka yang suka mendera. Pada pelarian itu, mereka berkenalan dengan jejaka Kristian yang mempunyai masa silam penuh kelam. Filem ini dibintangi Sharifah Amani, Sharifah Aleysha, Brian Yap, Datuk Rahim Razali, Ning Bazura, Tony Savarimuthu, Tan Mei Ling dan Yeo Yann Yann.

Sah! Umie Aida Bertunang Dengan Datuk Paduka Khairuddin

‘Doa Umie Aida makbul
Oleh Muhd Izawan Baharin
izawan@hmetro.com.my


KUALA LUMPUR: Tarikh 10 Syawal dipilih aktres Umie Aida untuk mengikat tali pertunangan dengan kekasih hatinya, seorang ahli perniagaan bergelar Datuk.

Umie Aida atau nama sebenarnya Umi Khalsum Rahmad Ali, 36, berkata majlis itu akan diadakan pada jam 8 malam di I-Zen Mont Kiara 1, Selasa ini.

Dia mengesahkan tarikh dan tempat berkenaan melalui SMS dihantar kepada Harian Metro, semalam.

Dalam laporan akhbar sebelum ini, Umie mengakui dia sudah sampai seru untuk berumahtangga seperti rakan seperjuangannya yang lain.

“Soal jodoh ketentuan Tuhan dan mungkin doa saya di Makkah untuk mendapat jodoh sudah dimakbulkan Tuhan. Saya tidak jangka ia akan berlaku, tetapi sebagai hamba-Nya, saya reda dengan apa ditentukan Tuhan.

“Terus terang, perasaan saya pada si dia berlainan sama sekali. Dia lelaki yang matang, penyayang dan lembut orangnya. Mungkin kerana usianya sudah pertengahan 40-an,” katanya.

Kisah mengenai bakal suaminya yang juga seorang duda dua anak dengan pangkal nama K bukan lagi rahsia di kalangan peminat dan media, malah Umie mengakui sudah melakukan sedikit persiapan menjelang hari bersejarah itu.

Pereka senior, Bill Keith diberi tanggungjawab menyempurnakan persalinan pada hari pertunangannya nanti.

Umie sebelum ini turut berkata, dua anak angkatnya, Daniel, 16 dan Helmi, 15, juga mendoakan yang terbaik buatnya.

“Kedua-dua anak saya bersedia menerima kehadiran orang baru dalam kehidupan kami sekeluarga. Maklumlah, mereka sudah remaja dan memahami apa yang berlaku.

“Saya juga tidak ada masalah menerima kehadiran bakal dua anak tiri nanti kerana sudah mempunyai dua anak angkat yang dipelihara sejak kecil,” katanya.

================================

Umie Aida nikah Januari 2010

KUALA LUMPUR: Cincin tunang bertatahkan berlian daripada koleksi jenama mewah, Chopard mengikat pelakon jelita, Umie Aida atau Umie Kalsom Rahmad dengan putera idamannya, Datuk Paduka Khairuddin Abu Hassan, malam tadi.

Cincin jenama kegemarannya itu disarungkan sendiri bakal ibu mentua, Balkish Ahmad, 70, dalam majlis pertunangan yang dilangsungkan dalam suasana ringkas, namun romantis bertemakan putih dan biru di kediaman mewah I-Zen, Mont Kiara.

Penerima anugerah Pelakon Wanita Terbaik 2003 (Festival Filem Malaysia ke-16) itu yang pernah kecundang beberapa kali dalam percintaan kelihatan cukup manis dan anggun dengan persalinan biru firus rekaan Bill Keith.

Apabila ditemui di akhir majlis, Umie Aida memaklumkan media majlis pernikahannya akan diadakan pada Januari 2010.

Bagaimanapun, tunangan Umie Aida yang mesra disapa Abang K tidak hadir berikutan menghormati adat Melayu selain tidak sedia berhadapan dengan media.

“Insya-Allah, kami akan bernikah awal Januari tahun depan. Bagaimanapun, saya seorang yang suka berterus-terang dan di sini ingin memaklumkan majlis pernikahan kami hanya membabitkan keluarga kedua-dua pihak saja.

“Maaf kerana tidak dapat mengundang media kerana hasil perbincangan kedua-dua pihak, kami memutuskan agar diberikan sedikit ruang dan berharap wartawan dapat menghormati pendirian kami.

“Bagaimanapun, kami cuba memberikan kerjasama dengan memberi maklumat mengenai pernikahan itu nanti. Bagaimanapun, jangan risau kerana pada majlis persandingan nanti, pihak media pasti dijemput,” katanya.

Umie yang pernah menyatakan keengganan mendirikan rumah tangga sebelum ini turut berkongsi keistimewaan tunangan yang menduda 16 tahun sehingga dia terpikat dan terfikir untuk berkahwin.

“Saya nampak keikhlasannya bukan saja menerima diri saya seadanya, tetapi memikul tanggungjawab yang saya pikul selama ini.

“Saya lihat Abang K melakukan sesuatu tanpa perlu saya paksa. Dia sendiri berusaha menambat hati anak-anak begitu juga keluarga. Mungkin kerana itulah hati saya terpaut,” katanya yang mempunyai dua anak angkat Mohd Daniel Firdaus, 15 dan Mohd Dzulhelmy, 14.





Anggun...Umie kelihatan jelita dengan persalinan berwarna biru firus hasil rekaan Bill Keith - foto THE STAR oleh RICKY LAI

Tuesday, September 29, 2009

CD dan DVD Geng yang terlaris

CD, DVD filem Geng laris

Oleh Rozdan Mazalan
rozdan@bharian.com.my




Siri animasi popular tempatan Upin & Ipin bakal ke saluran Disney

WALAUPUN menghadapi risiko daripada lanun cetak rompak, ia tidak menghalang Les’Copaque Production Sdn Bhd untuk memasarkan filem animasi terbitannya, Geng: Pengembaraan Bermula dalam medium cakera padat (CD) dan cakera video digital (DVD) kerana yakin peminat setia karektor watak berkembar Upin & Ipin dengan mendapatkan produk asli sebagai tanda sokongan.

Sokongan padu daripada peminat itu terbukti apabila CD dan DVD filem itu sudah dijual lebih 60,000 unit sejak ia dipasarkan kira-kira seminggu sebelum Aidilfitri menyebabkan syarikat penerbitan ini terpaksa membuat cetakan sebanyak 70,000 unit lagi.


Pengarah Urusan Les’Copaque Sdn Bhd, Burhanuddin Md Radzi berkata, tindakan pihak tidak bertanggungjawab mencetak dan menjual secara haram memang tidak dapat dielakkan tetapi ia hanya memberi kesan minimum.

“Sejak CD dan DVD Geng: Pengembaraan Bermula yang tulen mula dicetak dan dipasarkan, pada masa kita juga sudah menyedari memang ada banyak CD dan DVD cetak rompak di pasaran.

“Memang kita tidak mampu untuk berbuat apa-apa untuk menghalang kegiatan haram itu. Namun, saya amat berterima kasih kepada peminat setia filem ini kerana terus menyokong industri filem kita dengan mendapatkan CD dan DVD yang tulen kerana kualitinya lebih baik dan terjamin," katanya yang dihubungi Hip baru-baru ini.



Filem Geng: Pengembaraan Bermula yang ditayangkan pada Februari lalu mendapat sambutan amat memberangsangkan sehingga mencatatkan kutipan kasar lebih RM6 juta.

Buhanuddin juga memaklumkan filem Geng kini sedang ditayangkan di 40 pawagam di Jakarta dan Bandung, Indonesia sejak dua minggu sebelum Aidilfitri lalu dan menerima sambutan di luar jangkaan.

"Apa yang dimaklumkan kepada saya lebih 1,000 penonton membanjiri semua pawagam setiap hari untuk menonton filem ini yang ditayangkan lima hingga enam kali sehari, Mengikut perjanjian, filem ini akan ditayangkan selama sebulan di sana," katanya.

Tambah Burhanuddin lagi, sejak filem itu ditayangkan di Indonesia, karektor Upin & Ipin mula mendapat tarikan bukan saja daripada kanak-kanak di sana malah peminat daripada pelbagai peringkat usia.

"Filem ini turut menarik minat penyanyi kumpulan Dewa 19, Ahmad Dhani apabila dia menawarkan diri untuk mencipta lagu tema bagi siri Upin dan Ipin akan datang.

"Kita tunggu sajalah lagu yang dihasilkan Ahmad Dhani nanti kerana sekarang ini pun kita juga sedang menyiapkan siri Upin & Ipin sebanyak 42 episod untuk TV9 yang sudah disiarkan sejak Ramadan lalu. Siri ini akan terus disiarkan sehingga penghujung tahun ini,” katanya.

Upin & Ipin dalam empat bahasa

Dalam perkembangan lain, filem kedua terbitan Les' Copaque Production berjudul Upin & Ipin: Angkasa cuba menjadi filem animasi tempatan pertama ke pasaran global iaitu Asia Tenggara dan negara-negara Eropah tidak lama lagi.

"Kita dalam proses akhir sebelum pemeteraian perjanjian bersama saluran Disney yang berminat dengan kualiti yang ditonjolkan menerusi filem Geng.

“InsyaAllah, majlis perjanjian itu akan dibuat di Cannes, Perancis dan bakal dihadiri dan disaksikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak. Pihak Disney bersetuju menyiarkan siri Upin dan Ipin di Asia Tenggara serta Korea yang seterusnya membuka peluang kepada kami bagi mengembangkannya ke Eropah melalui pasaran mereka.

"Buat masa ini mereka bersetuju mengambil siri Upin & Ipin sebanyak 42 episod untuk disiarkan dalam saluran Disney sepanjang musim cuti sekolah nanti. Siri ini juga akan dialih bahasa kepada bahasa Mandarin dan Inggeris.

“Mereka turut berminat untuk bekerjasama dengan kita bagi menghasilkan filem Upin & Ipin: Angkasa,” katanya yang akan memulakan kerja-kerja penerbitan filem kedua itu tahun depan dan dijangka siap sepenuhnya pada 2011.

Tidak dengan itu saja, filem Geng; Penggambaran Bermula akan ditayangkan di India bermula November depan.

"Kita sudah mendapat tempahan daripada 400 pawagam di India. Buat masa ini kita sedang dalam proses mengalihkan bahasa kepada bahasa Hindi,” kata Burhanuddin.

INFO: Filem Upin & Ipin

  • Sebanyak 130,000 keping CD dan DVD filem Geng: Pengembaraan Bermula dicetak.

  • Filem kedua terbitan Les’Copaque berjudul Upin & Ipin: Angkasa

  • Sebanyak 400 pawagam di India sudah menempah untuk menayangkan filem Geng: Pengembaraan Bermula pada November depan.
  • Monday, September 28, 2009

    Irma dan Nabil Raya Sakan

    Kejutan Irma kepada Nabil

    Oleh Zaidi Mohamad
    zaidim@bharian.com.my


    PASANGAN kekasih yang diharap hubungan mereka akan berakhir ke gerbang perkahwinan.

    Pemberian hadiah lambang istimewa ikatan kasih antara mereka

    TIDAK ada apa yang lebih membahagiakan hati Irma Hasmie apabila majlis rumah terbuka anjurannya dan keluarga dihadiri insan tersayang yang cukup bererti di dalam hidup.

    Malah lebih bermakna, majlis yang diadakan Jumaat lalu (25 September) di kediaman keluarganya, Desa Coalfields, Sungai Buloh turut disempurnakan dengan sambutan hari lahir kekasih hati Irma sendiri, Nabil.


    Ia diraikan lebih awal sehari kerana Bintang Paling Popular, Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2008 itu menyambut ulang tahun kelahirannya yang ke-26 pada 26 September (Sabtu). Irma yang akan kembali ke set penggambaran Awan Dania musim kedua sempat membelikan seluar jenama Ed Hardy, Ipod dan kad ucapan buat Nabil.


    “Alang-alang keluarga Nabil dan tetamu sudah ada, jadi Irma ambil kesempatan untuk meraikan hari lahirnya. Bukan kejutan pun, sebab Irma awal-awal lagi sudah memaklumkan kepadanya mengenai sambutan ini. Cuma dia (Nabil) ingat sambutan biasa saja tanpa membabitkan potongan kek.

    “Sejujurnya Irma gembira sangat kerana ramai sangat kawan yang dijemput sudi meluangkan masa datang ke majlis ini. Rasa seronok dan dihargai sangat biarpun Irma tahu bukan dekat nak datang sini. Ada yang sesat cari rumah tapi akhirnya sampai juga,” kata Irma yang turut menghadiahkan sepasang baju Melayu yang dipakai Nabil pada majlis ini.

    DARI kiri, IRMA tak menang tangan melayan tetamu. IRma membawakan kek buat buah hatinya, Nabil.

    Kehadiran tetamu yang berduyun-duyun ke majlis rumah terbukanya menyebabkan Irma dilihat begitu sibuk untuk melayan mereka. Pelakon berusia 27 tahun ini juga tidak lekang memohon maaf daripada tetamu sekiranya ada kekurangan terhadap majlis yang diadakannya itu.

    “Rumah terbuka ini menggabungkan jemputan daripada kawan Irma, ibu dan hinggalah ke adik Irma. Kalau sebelum ini mereka datang beraya ikut giliran dan kesesuaian masa, tapi untuk tahun ini semua diundang serentak. Paling seronok Irma dapat bertemu semula dengan 10 orang kawan asrama Toh Puan Norashikin, Yayasan Selangor.

    “Ada di antara kawan Irma itu sudah datang memangku bayi dan ada pula yang mengambil kesempatan mengedarkan kad kahwin. Kenangan ini seperti menyegarkan kembali memori lama. Musim raya ini juga sudah dua kali Nabil datang ke rumah Irma. Kali pertama Nabil datang masa raya pertama lalu.

    “Irma juga nak ucapkan terima kasih kepada Pak Engku dari Kuzie Katering yang sudi menaja makanan seperti sate dan kuih muih. Tak lupa juga kepada syarikat pembekal peralatan bankuet, Madetill Event Management (MEM) Sdn Bhd yang dimiliki bapa saudara Irma. Malahan, Irma dan Nabil turut dilantik sebagai duta kepada MEM,” kata Irma.

    DARI kiri, Ibu Irma, Ropitah abdul Hassan menyuapkan kek ke mulut Nabil. NabIl dan Irma bergambar kenangan dengan tetamu yang hadir.

    Kemeriahan rumah terbuka Irma Hasmi ini dilihat seolah-olah sudah menjadi majlis pernikahan pula. Manakala, Nabil yang ditemui sempat berseloroh memperkenalkan ibu Irma sebagai ibu mentuanya. Malahan sehari selepas itu, Nabil mengadakan kenduri kenduri kesyukuran di kampungnya di Mambau, Seremban. Irma dan keluarganya juga berkesempatan ke rumah keluarga Nabil untuk menghadiri kenduri itu.

    Sudah mendapat restu keluarga

    Melihat kepada keakraban keluarga Nabil dan Irma, ternyata dapat disimpulkan hubungan cinta mereka masing-masing sudah direstui keluarga masing-masing. Bagaimanapun, kedua-duanya belum bersedia untuk diijab kabul pada tahun ini.

    Ini kerana Nabil mahu memberi laluan kepada adiknya, Siti Sarah untuk melangsungkan perkahwinannya terlebih dahulu pada Disember nanti. Nabil sendiri mensasarkan dua tahun lagi untuk memikirkan hal perkahwinan kerana mahu mengumpul harta.

    “Memang tiada majlis merisik. Apa yang ditulis rakan media sebelum ini tak lebih sekadar gimik dan gurauan semata-mata. Nabil pun akan mempertimbangkan adat bertunang selepas disarankan rakan media.

    “Keluarga kami pun sudah rapat dan sporting dan Irma sendiri seronok dengan situasi ini. Mungkin tahun depan atau hujung 2010, semuanya belum dapat dipastikan dan terpulang kepada Nabil. Sebagai manusia biasa, kita hanya merancang dan selebihnya semua atas kuasa Tuhan,” katanya.

    Mengenai kerjaya seninya, biarpun sudah agak kukuh dikenali di persada seni, Irma sedar namanya tidaklah sepopular yang disangka. Malah, ada yang mengandaikan Irma lebih dikenali sebagai permata hati Nabil berbanding kerjayanya.

    “Saya harus bersyukur tawaran berlakon itu semakin mencurah-curah. Ini bukti kisah peribadi kami tidak menjadi penghalang untuk saya terus mencari rezeki di dalam bidang seni. Insya-Allah selepas ini saya mungkin akan terbabit dengan dua telefilem,” katanya.

    Ditanya mengenai apakah dia dan Nabil kini terlalu banyak pendedahan di media, kata si tinggi lampai itu, apa yang dilakukan tidak lebih sebagai memenuhi permintaan rakan media.