Tuesday, May 26, 2009

Engku Aleesya Puteri Erra Fazira dan Engku Emran

Itu dia rupanya rupa puteri aleesya yang cute lagi comel yang sebelum ini ramai yang tertanya-tanya kecomelan dan keayuan puteri aleesya. Laporan dari berita harian...

Bagaikan bintang filem seperti ibunya apabila tidak banyak kerenah ketika 'muncul' kali pertama di depan media

TIDAK perlu lagi meneka bagaimana rupa paras puteri sulung bintang filem Melayu, Erra Fazira apakah dia secantik ibunya atau mewarisi ketampanan bapanya, Engku Emran Engku Zainal Abidin.

Seperti dijanjikan ketika melahirkan Engku Aleesya pada 30 Mac lalu untuk mendedahkan wajah puterinya serentak kepada semua media cetak dan elektronik, Sabtu lalu (23 Mei) Erra mengotakan janjinya.


Menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS), Erra dan Emran menghantar undangan ke majlis aqiqah dan cukur jambul Aleesya kepada semua teman media, sekali gus mendedahkan wajah bayi comel mereka buat pertama kalinya kepada umum.


Sekali lagi pasangan itu memilih Restoran Puteri, Sungai Penchala, tempat di mana mereka diijabkabulkan hampir dua tahun lalu untuk upacara berkenaan. Memilih konsep merah jambu dan putih, majlis cukur jambul itu dihias cantik hasil sentuhan Lynda Rahim, manakala gaun Aleesya, kek cawan serta cenderahati untuk tetamu pula ditaja Cradle 'N' All.

Sebaik kaki melangkah meniti tangga restoran yang cerun, wajah comel Aleesya terpampang di sebuah bingkai gambar besar menyambut ketibaan tetamu. Di depan pintu restoran, dua buah lagi bingkai di letakkan di kiri dan kanan. Kali ini, Aleesya berada disamping ayah dan ibunya.



Dari luar lagi sudah terserlah kemeriahan majlis, apabila menaiki ruang atas restoran, sebuah singgah sana yang cukup indah dihiasi bungaan segar rona merah jambu dan ungu tersergam menyambut kehadiran undangan. Malah sempat Erra membisikkan kepada Emran, singgahsana buat cahaya mata mereka lebih 'gah' berbanding majlis mereka dulu.

Sebelum wajah Aleesya didedahkan, majlis terlebih dulu dimulakan dengan upacara pembacaan doa dan puji-pujian ke atas junjungan-Nya oleh kumpulan marhaban Sautul Ijtihad. Apabila marhaban hampir bermula, Erra yang kelihatan menawan dengan jubah dari rona merah jambu mendukung si kecil yang menjadi bualan hangat itu memasuki buaian yang turut dihias cantik.

Pancaran cahaya kamera tidak henti-henti memancar Erra dan bayinya ketika kakinya melangkah untuk ke buaian, masing-masing tidak mahu terlepas merakamkan gambar terbaik puteri kesayangan Erra dan Emran itu.

Seakan mengetahui status ibunya sebagai 'public figure', si kecil itu tidak langsung meragam. Malah acara sidang media langsung tidak terganggu oleh rengekan Aleesya.

ANAK kecil ini tidak banyak meragam sepanjang acara diadakan.

Bercerita mengenai persiapan majlis itu, kata Erra dia menerima tawaran daripada Lynda Rahim dan Cradle 'N' All sejak Aleesya masih berada dalam kandungan lagi. Selepas persetujuan antara ketiga-tiga pihak, barulah konsep majlis itu dirancang.

Seronok bergelar ibu

Erra yang bakal kembali beraksi di depan kamera bermula 25 Jun ini setelah hampir enam bulan bercuti tampak cukup gembira dengan kehadiran cahaya mata yang menjadi pelengkap rumah tangga dan pengikat kasih sayang antaranya dan Emran.

Katanya, banyak pelajaran baru diterokai setelah hampir 60 hari bergelar ibu. Sebulan pertama, dia mengakui kejanggalannya tetapi kini dia semakin seronok meniti episod baru dalam hidupnya.

"Kini baru saya tahu betapa beratnya tugas seorang ibu. Melayan dia seorang saja tidak cukup masa dibuatnya. Tak dinafikan tugas ibu itu memenatkan tetapi dalam waktu yang sama seronok dengan telatahnya.

"Pada bulan pertama memang susah juga terutamanya bila dia meragam. Walaupun sudah diberi susu dia masih menangis, kadang-kadang kita tidak tahu sama ada dia lapar ataupun dia sakit perut tetapi mungkin juga saya belum tahu lagi selok belok menjaga bayi. Alhamdulillah memasuki dua bulan saya sudah pun dapat menangani.

"Memandangkan saya akan mula bekerja tidak lama lagi, Aleesya akan dijaga secara bergilir-gilir oleh ibu saya dan ibu mentua. Kalau diikutkan berat juga hati hendak meninggalkan dia tetapi saya terpaksa juga lakukannya kerana kerja. Saya perlu melunaskan tanggungjawab dengan Astro yang sudah tertangguh lama," katanya.

Erra juga berkata, oleh kerana Aleesya masih menyusu badan mungkin anaknya terpaksa dibawa ke set untuk disusukan. Namun, Erra tidak menggalakkan Aleesya terlalu kerap berada di luar. Dia juga seboleh mungkin mengelakkan bekerja di luar Kuala Lumpur melainkan jika terpaksa.

Disebabkan bayinya masih menyusu juga, Erra masih belum dapat memulakan sesi dietnya bagi memberikan pemakanan seimbang kepada bayinya itu. Bagaimanapun dia akan memulakan usaha menurunkan lagi berat badan apabila memasuki bulan kedua dengan menjalani rawatan menguruskan badan dan memasuki gym.

Sementara itu, Engku Emran pula berkata, pengalaman bergelar bapa adalah satu pengalaman yang cukup indah. Aleesya bukan setakat mengajarnya malah banyak menyedarkannya.

"Dia mengajar saya erti kesabaran dan membuang sikap mementingkan diri. Alhamdulillah Aleesya banyak menyedarkan saya, pengalaman itu tentunya tidak dapat ditukar ganti," kata Emran yang berhasrat menghantar Aleesya ke sekolah Cina apabila puteri sulungnya memasuki tahun satu kerana mahukan Aleesya menguasai lebih daripada dua bahasa.

Ketika ditanya, siapakah yang lebih banyak menjaga Aleesya apakah Erra atau Emran. Erra berkata, kebanyakan masa Aleesya bersamanya memandangkan suaminya sentiasa sibuk. Walau bagaimanapun, jika di rumah Emran ringan tangan membantu malah suaminya itu kelihatan tidak kekok melayan Aleesya.

Ditanya perancangan untuk cahaya mata seterusnya. Kata Erra, pengalaman melahirkan Aleesya menyebabkan dia terpaksa mempertimbangkan kembali rancangan untuk menimang empat cahaya mata. Bagaimanapun, Emran ternyata masih berpegang kepada janji yang sudah pun dipersetujui mereka.

INFO: Erra dan Aleesya

  • Engku Aleesya dilahirkan pada 30 Mac lalu, pada jam 11.40 pagi dengan berat 4.04 kilogram. Berat badannya kini mencecah 6 kilogram setelah hampir memasuki bulan kedua.

  • Antara rakan artis yang hadir pada majlis itu ialah Umie Aida, Zahida Rafik, Zarina Zainuddin, Sharifah Shahira, Zaibo dan Betty Benafe.

  • Majlis aqiqah dan cukur jambul itu dirancang dengan cukup rapi dan dihias indah dengan konsep merah jambu dan putih.

  • Erra bakal kembali ke lokasi penggambaran untuk sebuah drama bersiri di bawah arahan Rashid Sibir pada 25 Jun ini.

  • Tidak menggalakkan puteri sulungnya itu mengikut jejak langkahnya malah Erra sudah pun menolak tawaran berlakon untuk anaknya. Bagaimanapun Erra dan Aleesya dilamar sebuah produk penjagaan bayi untuk sebuah program khas tetapi masih tidak boleh didedahkan kepada umum.
  • Kenapa isteri akhil hayy failkan cerai?

    Petikan dari berita harian berkenaan kisah isteri akhil hayy failkan cerai terhadap akhil hayy? Kenapa ...?

    Gara-gara gosip bersama Waheeda, isteri 'role-model' Astro Oasis dikatakan mahu berpisah

    MENERUSI B*Pop Ahad lalu (17 Mei), di ruangan ini, Zubir ada memaparkan gosip berjudul Waheeda, Akhil Hayy terus bersandiwara. Antara lain ia mengisahkan kontroversi yang berlaku antara bekas penyanyi rock yang kini menjadi pendakwah bebas dan 'role-model' Astro Oasis, Akhil Hayy bersama pelakon, pengacara serta penyanyi irama padang pasir, Waheeda yang dikatakan sedang hangat bercinta, sekalipun mereka acap kali membuat penafian bukan pasangan kekasih, jauh sekali sudah mendirikan rumah tangga.

    Kedua-duanya lebih senang melabel keakraban mereka sebagai sahabat baik. Namun, kontroversi tidak pernah jemu menerjah Akhil dan Waheeda apabila mereka seolah-olah rela pula digandingkan sebagai pasangan suami isteri menerusi program Cafe Akhil Hayy musim kedua yang kini menemui penonton setiap Rabu jam 7.30 malam di Astro Oasis, sekali gus mengundang pelbagai spekulasi orang ramai, antara mereka ada ‘ikatan’ yang mungkin masih tersembunyi.

    Kisah mereka menonton wayang dan gambar kedua-duanya bersantai bersama rakan di tepi pantai waktu malam, bukan satu rahsia lagi, namun Akhil dan Waheeda mempunyai 1001 alasan menepis andaian negatif masyarakat yang dilemparkan kepada mereka. Akhil bukan saja digelar ustaz dan pendakwah bebas, tapi statusnya sebagai suami, membuka ruang kepada orang ramai membuat andaian negatif, wajarkah apa yang dilakukannya itu.

    Waheeda sendiri pernah membuat kenyataan kepada HIP Berita Harian, dia amat menyukai Akhil, sekali gus membolehkan kontroversi terus menghujani diri mereka.

    Pun begitu, selang beberapa hari gosip berkenaan disiarkan, Zubir dikejutkan pula dengan kiriman e-mel daripada seseorang yang mendakwa kononnya isteri Akhil memfailkan perceraian! Berikut adalah sebahagian isi kandungan emel berkenaan:

    “Nampaknya isteri kepada Ustaz Akhil Hayy, Maizawati Zainal sudah tidak mampu lagi nak menahan tekanan akibat kontroversi hubungan sulit suaminya dengan Waheeda. Dengar-dengar isteri Akhil sudah pun memfailkan perceraian di Mahkamah Rendah Syariah Ipoh, Perak, Kemungkinan besar perbicaraan kes berkenaan akan bermula 2 Jun nanti.”

    Zubir harap-harap apa yang disampaikan ini satu berita yang tidak sahih, fitnah semata-mata dan berdoa agar rumah tangga Akhil bersama isterinya masih kekal bahagia, walaupun pelbagai kontroversi melanda ketika mereka melayari alam perkahwinan. Sudah menjadi kelaziman, apabila kita hendak berbuat baik dan melakukan dakwah, ada saja perkara yang menghalang.

    Jadi, Zubir harap dan penuh yakin yang Akhil dan isterinya mahupun Waheeda terus tabah untuk berdepan dengan halangan ini.

    Namun, nasihat Zubir kepada Akhil dan Waheeda, agak-agaklah apabila menjalin persahabatan itu kerana banyak hati yang perlu kita hormati dan pelihara. Zubir yakin, bersama ilmu keagamaan yang penuh di dada Akhil, selain Waheeda yang berpendidikan tinggi, mereka sewajarnya layak berfikir apa yang terbaik untuk masa depan bersama, selain memelihara nama baik industri hiburan supaya tidak terus dipandang serong.

    Petikan berita harian...

    Monday, May 25, 2009

    Kenapa Waheeda, Akhil Hayy terus 'bersandiwara'?




    Petikan dari berita harian cerita sandiwara waheeda...

    ZUBIR tergelak besar apabila membaca kenyataan pendakwah bebas dan 'role-model' Astro Oasis, Akhil Hayy menerusi sebuah akhbar tabloid mingguan minggu lalu dengan kata-katanya: "Don't wake up the sleeping dog." Maknanya lebih kurang begini kot, jangan dijolok sarang tebuan! Bagi Zubir, lebih 'gempaq' kalau Akhil berkata begini: "Don't wake up the sleeping dragon!" Barulah gerun Zubir membacanya...

    Akhil berkata begitu apabila menjawab pertanyaan media massa mengenai penyebaran gambar dia bersama penyanyi dan pelakon, Waheeda bersantai di tepi pantai pada waktu malam yang kini boleh ditonton secara percuma di internet. Apabila ada bukti gambar, Akhil tidak mahu memberi sebarang komen, sekali gus mendakwa gambar itu diambil untuk adegan lakonan, rasanya Akhil boleh masuk Raja Lawak Astro!

    Awalnya pasangan ini dikatakan sudah berkahwin senyap-senyap, kemudian menggemparkan peminat dunia seni apabila mereka dilihat menonton wayang bersama dan kini gambar mesra mereka bersama teman-teman di tepi pantai sudah tersebar, sekali gus pertikaian mengenai status kedua-duanya terus mengundang tanda tanya di kalangan peminat dan pihak wartawan.

    Tambahan pula menerusi program keagamaan, Cafe Akhil Hayy musim kedua yang kini menemui penonton setiap Rabu jam 7.30 malam di Astro Oasis, mereka ‘berlakon’ sebagai pasangan suami isteri apabila Waheeda memegang watak Hani Al Zahra dan keadaan ini sekali gus mengundang pelbagai spekulasi serta menguatkan lagi dakwaan, antara Waheeda dan Akhil memang mereka ada apa-apa berdasarkan logik akal!

    Bagai nak rak Akhil dan Waheeda membuat penafian mereka sudah bernikah, tapi kedua-duanya seolah-olah mengundang kontroversi berganda apabila 'sengaja' muncul sebagai suami isteri sekalipun hanya di kaca TV! Zubir hairan, semakin hebat mereka dihambat kontroversi, semakin berani mereka tampil berdua, sepatutnya mereka berusaha meredakan keadaan, janganlah lagi sering kelihatan bersama!

    Apabila dikritik pihak media massa, mulalah mencari salah wartawan kononnya wartawan tidak ada bahan sensasi artis lain untuk dipanaskan, balik-balik kisah mereka berdua saja jadi sasaran.

    Ini pula kenyataan Waheeda menerusi HIP Berita Harian terbitan 6 Mei lalu: "Saya tidak berkahwin dengannya (Akhil) dan tidak juga menjalinkan ikatan cinta. Tapi, saya akui, saya amat menyukainya. Kami ada berjumpa dan sering keluar bersama, lepak sama. Tengok wayang. Lagipun kami keluar di khalayak ramai. Kalau kita tak buat salah, buat apa nak takut."

    Memang tak salah wahai Waheeda, tapi patut-patutlah, Akhil tu suami orang, seorang pendakwah dan diberi gelaran ustaz, tak manis pada pandangan mata orang ramai. Akhil pun satu, kata role-model, ini selamba saja bawa keluar anak dara orang, lainlah kalau Waheeda tu isteri anda, bolehlah diusung ke mana saja!


    Petikan berita harian...

    Wednesday, May 6, 2009

    Hunny Madu Terbuka Butang Baju (AIM)


    Lantaran beliau terlalu gembira sakan membuat pengumuman artis baru terbaik sehingga tersentap butang baju. Saksikan pendedahan ekslusif tersebut rakaman secara tidak langsung.


    Saturday, May 2, 2009

    Tomok Menang RM1 Juta


    Tomok menang satu juta dalam rancangan One In A Million. Tahniah banyak banyak dapat duit banyak.




    MENANTI detik tengah malam ini, salah seorang daripada mereka akan diumumkan ‘jutawan segera’ sekiranya men juarai One In A Million (OIAM), yang melabuhkan tirai musim ketiganya malam ini.

    Mungkinkah Tomok, Eshter atau Aweera? bakal membawa pulang ganjaran wang tunai RM1 juta pada acara kemuncak yang berlangsung di Stadium Malawati, Shah Alam, bermula jam 8.30 malam.

    Segala keputusan, terletak di hujung jari anda selaku penonton yang berkuasa 100 peratus dalam menentukan nasib pemenang.

    Yang pasti, berbanding dua musim sebelumnya, tahun ini agak sukar meramalkan siapakah akan bergelar juara kerana setiap mereka mempunyai kelebihan masing-masing.

    Tomok misalnya, melalui satu transformasi dan berjaya membuktikan kehebatan vokalnya yang sebelum ini tidak dapat disaksikan sewaktu dia bersama kumpulan New Boyz. Selain mempamerkan kehebatan lain khususnya penguasaan dari sudut komposisi lagu.


    Dengan rasminya tomok telah menjadi juara One In A Million.